Exchange our link keh ^^

Tuesday, June 21, 2011

Adat Yang Semakin Dipinggirkan


Samada anda semua sedar atau tidak,terlalu banyak perubahan yang dapat kita saksikan dari zaman ke zaman.Perubahan ini merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat kita terutama sosial. Saya dilahirkan pada zaman 70 an dan membesar pada zaman 80 an dan 90 an.Sepanjang kehidupan saya di atas muka bumi ini, saya dapat lihat masyarakat kita iaitu masyarakat melayu semakin lupa pada ajaran agama Islam dan adat resam nenek moyang.
Seperti contoh, bayi kecil yang baru dilahirkan disunatkan kepada ibu bapanya untuk mengadakan akikah untuk bayi tersebut semasa usianya berada didalam lingkungan 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau bila-bila masa sahaja sebelum bayi atau kanak-kanak itu mencapai usia baligh. Hukumnya sama dengan ibadah korban iaitu sunat muakkad. Namun, apa yang kita lihat sekarang, kenduri akikah akan disekalikan dengan majlis cukur jambul dan berendoi atau naik buai sedangkan di dalam Islam tidak ada istilah 'cukur jambul' seperti yang sering diamalkan oleh masyarakat kita sekarang ini. Islam mengajar kita untuk mencukurkan keseluruhan rambut si bayi sehingga botak. Namun,ibu bapa lebih sayangkan rambut anak-anak mereka yang baru lahir itu,kemungkinan besar itulah sebabnya mereka cuma mengadakan majlis cukur jambul untuk bayi mereka. 
Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)
Manakala adat berendoi sememangnya tiada diwajibkan dan diajarkan di dalam islam namun pada suatu ketika dahulu, adat berendoi atau naik buaian, dilakukan dengan menggunakan kain songket atau kain batik lepas sebagai lambang adat kemelayuan. Tetapi entah dimana gahnya, ibu bapa kini lebih gemar memilih untuk menggunakan tema Inggeris untuk majlis tersebut dan bayi mereka juga terutamanya yang perempuan juga turut dipakaikan gaun kembang yang meleret-leret. Maka di mana adat budaya yang nenek moyang kita junjung selama ini. Siapa yang akan mengekalkannya kalau bukan kita sebagai masyarakat melayu sendiri?
Selain itu, majlis-majlis pertunangan yang saya saksikan sekarang ini pula selayaknya dianggap majlis pernikahan atau perkahwinan, kerana rata-ratanya terlalu mewah dan beriya.Kebanyakan majlis pertunangan juga turut dihiasi dengan pelamin pelbagai bentuk dan hiasan mengalahkan sebuah majlis perkahwinan.Tetamu-tetamu yang hadir pula pastinya terpegun dan kagum dengan reka bentuk pelamin dan memuji-muji majlis tersebut. Adakalanya pujian seperti ini boleh menimbulkan rasa riak dan bangga dalam hati tuan punya majlis tersebut. Si dara pula berinai bunga di tangan seperti di majlis pernikahan atau persandingan. Lebih menyedihkan bila mana sang teruna juga turut hadir dalam majlis tersebut dan adakalanya dia juga ke hadapan, malah berbaju warna sedondon dengan si gadis. Ada pula yang lebih 'gah' bila mana si teruna juga turut serta duduk di pelaminan bersama gadis tunangannya. Di manakah adat Melayu kita yang selama ini terjaga kesuciannya.
Berbalik pada era 90an dan yang sebelumnya, majlis pertunangan dibuat adalah bertujuan untuk mengikat janji antara pihak si teruna dan si dara. Majlis pertunangan adalah majlis kekeluargaan yang dihadiri oleh keluarga terdekat dan juga jiran tetangga yang terdekat. Majlis diadakan secara sederhana dan diiringi dengan adat berbalas dulang hantaran antara teruna dan dara. Majlis pertunangan tersebut adakalanya tidak diketahui oleh seluruh kampung kerana belum ada satu ikatan yang telah sah termeterai antara si teruna dan dara.
Semasa saya bercuti ke Indonesia baru-baru ini, saya telah dimaklumkan oleh pemandu pelancong disana bahawa, rakyat Indonesia masih lagi mengekalkan kebudayaan masing-masing dalam upacara perkahwinan. Tetapi bagaimana pula dengan orang Melayu Malaysia? Daripada apa yang saya dapat lihat, masyarakat kita telah semakin menyimpang jauh daripada adat budaya. Apatah lagi daripada ajaran agama islam. Jelaslah masyarakat kita lebih suka mencedok adat budaya asing dan menyerapkannya untuk dijadikan adat budaya kita sehingga adat budaya kita sendiri terpinggir dan akhirnya terus tersingkir dari hati masyarakat kita.
Jika anda perasan juga, semakin ramai pasangan yang bakal berkahwin bergambar 'pre-wedding photoshoot'. Mereka yang memakai pakaian yang menutup aurat juga tidak terkecuali bergambar mesra dan romantis untuk 'pre-wedding' mereka sedangkan 'Pre-wedding photoshoot' ini sebenarnya diamalkan oleh masyarakat cina. Namun walaupun masyarakat cina bergambar 'pre-wedding', mereka akan mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian sedangkan masyarakat kita pula bergambar 'pre-wedding' sebelum pernikahan yang sah yang mana menurut ajaran islam adalah jelas hukumnya haram.
Jika dahulu pengantin melayu cantik menggayakan kebaya atau kurung songket tetapi sekarang ini mereka lebih selesa dan rasa bergaya mengenakan kain lace, chiffon, organza dan sebagainya. Tidak salah sekiranya tidak mahu memakai kain songket ketika majlis perkahwinan kerana cuaca di Malaysia ini sememangnya tidak mengizinkan. Tetapi fesyen busana yang dipilih itu biarlah bersesuaian dan menutup aurat. Lebih mendukacitakan ketika majlis pernikahan si pengantin perempuan beriya-iya memakai tudung litup tetapi apabila majlis persandingan berlangsung terbanglah segala tudung mereka dan busana yang sopan. Ada yang lebih menyakitkan mata apabila ada pengantin yang berani memakai busana yang jarang dan menampakkan kulit badan tetapi masih mengenakan tudung. Mungkinkah definisi menutup aurat bagi mereka ini dengan hanya sekadar menutup kepala sahaja?
Seelok-eloknya majlis perkahwinan dimulakan dengan doa dan diakhiri juga dengan doa. Tetapi ada juga majlis pernikahan yang diselangi dengan tepukan hadirin apabila si teruna berjaya melafazkan akad. Tidak kurang juga ada pasangan pengantin yang mengadakan upacara melepaskan burung merpati sebagai simbolik si gadis lepas daripada tanggungjawap ibu bapa yang mana adat ini jelas ternyata diadaptasi daripada budaya barat. Ramai juga yang terikut-ikut dengan upacara membaling bunga atau 'bouquet toss' yang ditiru daripada masyarakat barat yang mengikut fahaman mereka, sesiapa yang mendapatkan bunga yang dibaling tersebut, akan mendapat tuah.
Jika dahulu selepas majlis kenduri, pasangan pengantin akan dibawa oleh kedua ibu bapa untuk menziarahi saudara-mara terdekat terutamanya yang tidak dapat hadir memeriahkan majlis. Tetapi pengantin sekarang lebih gemar memilih untuk membuat hal sendiri seperti pergi berbulan madu dan sebagainya. Tidak ada salahnya untuk pergi berbulan madu , tetapi sebagai pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga rajin-rajinkanlah diri untuk menjenguk saudara mara di kampung dan berkenal-kenalan dengan mereka.
Masyarakat asing sentiasa berusaha mengekalkan adat dan budaya mereka agar tidak lupus ditelan zaman. Tetapi lain pula dengan masyarakat kita yang nampak gayanya semakin berlumba-lumba untuk mengetepikan adat budaya sendiri dan membawa masuk budaya asing dalam kehidupan seharian kita. Dalam pada masa yang sama, jangan kita lupa pada ajaran Islam yang telah menggariskan panduan-panduan untuk kita ikuti sebagai seorang muslim.


Sharing Is Caring

No comments:

Post a Comment

Sekiranya anda pandai berkata-kata, Komen lah ^_^

Tutors {Lyssa}

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...