Exchange our link keh ^^

Monday, July 16, 2012

Bayu Asmara - Ilani Mysara Episod 1

Selagi berhembus, 
Selagi itulah akan
ku bisik kerinduan ini...

Episod 1

Pelabuhan Klang, M.V Bunga Pelangi


Cerita demi cerita disentuh untuk tatapan.  Disuatu senja nan suram, ketika awan mega berarak lembut tanda hari hendak hujan, berlabuhlah sebuah kapal besar dengan muatan 30 orang anak kapal berserta beribu-ribu buah kontena berisi pelbagai jenis barang.  Kapal itu baru saja pulang dari pelabuhan-pelabuhan di Eropah seperti Pelabuhan Dalmetta, La Spezia, Barcelona dan Fos.
      Pelabuhan Klang adalah salah satu destinasi persinggahannya.  Itulah rutin sesebuah kapal besar yang sentiasa belayar ke serata dunia membawa kisah suka dan duka anak-anak kapalnya menempuh pelbagai cabaran merentasi laut yang sentiasa bergelora.  Antara cerita-cerita yang dibawa, terdapat satu kisah pencarian seorang anak kapal.  pencarian yang mengikut kata hati.
     Ketika itu berdiri segak satu susuk tubuh berkulit hitam manis dengan pakaian lengkap seorang nakhoda kapal di penjuru anjungan kapal.  Dia kelihatan sedang mengelamun melayan cerita cinta yang masih belum ada penghujungnya.  Bergelar Shah Asmara atau lebih senang dipanggil Shah saja.
     "Selamat petang dan Assalamualaikum, kapten,"  tegur Arman penuh sopan.
      Shah menoleh sambil tersenyum.  Arman adalah seorang jurutera di kapal itu.  Shah tahu Arman merupakan anak kapal yang sangat tertib serta berdisiplin.  Diperhatinya tubuh Arman yang sudah pun berdiri tegak dibelakangnya.
     "Wa'alaikumsalam. Hmm... Ada apa, Arman?"  tanyanya.
     "Ada seorang gadis nak jumpa kapten.  Dia ada di sana.  Cantik orangnya, kapten,"  kata Arman sedikit mengusik.  Ibu jarinya sudah pun menuding ke arah sebuah lounge di dalam kapal itu.
     "Habis tu, kenapa?" soal Shah.  Agak serius.
     Bergetar juga dada Arman bila kaptennya bersikap agak tegas.  Arman segera menjawab tapi masih lagi mahu mengusik.
     "Tak ada apa-apalah, kapten.  Saya bergurau saja.  Yalah, baru saja berlabuh dah ada orang nak jumpa.  Perempuan pulak tu.  Macam saya ni nampaknya tak merasalah berjumpa dengan orang secantik itu," rungut Arman yang seakan-akan merajuk dengan dirinya sendiri.  Mana tidaknya, sudah 30 lebih usianya tetapi masih tidak berpunya.
    "Mana dia?" tanya Shah agak tinggi sedikit nada suaranya.  Matanya sudah melilau mencari orang yang disebut oleh Arman.  Shah boleh mengagak siapa gadis itu tapi di dalam hatinya, dia masih kurang pasti adakah gadis itu orang yang selalu dinantikan kehadirannya.
     "Boleh saya panggil dia ke mari?"  tanya Arman lagi.  Senyumannya mula menguntum.  Arman tahu kaptennya bukan jenis orang yang suka marah, tetapi orang yang sedang mengelamun memang begitu apabila diusik.
     Shah segera mengangguk.
     Arman lantas berlalu laju.  Tidak sabar rasanya hendak berjumpa semula dengan gadis yang masih menunggu di ruang tamu.  Dia mahu menatap lagi wajah gadis yang baginya terlalu cantik.  Memenuhi cita rasanya.
      Shah memandang laut nan biru di Pelabuhan Klang.  Sudah lama benar ditinggalkan tanah airnya.  Telah bertahun juga ditinggalkan ibu kandung dan bapa angkatnya.  Shah pergi belayar nun jauh ke luar negara, sebagai seorang nakhoda kapal.  Sekarang, dia sudah menjadi seorang ketua sebuah kapal barang yang besar.
     Tiba-tiba Shah dapat menghidu sesuatu.  Bau yang sentiasa segar dalam ingatannya.  Bau minyak wangi yang dipakai oleh seseorang.
     "Assalamualaikum, abang long." Suara manis menegurnya.
     Suara itu membuatkan Shah tersenyum.  Segera ditoleh ke belakang.  Shah tahu siapa dia.  Orang yang sentiasa berada dalam hatinya.
     "Wa'alaikumsalam, dik.  Bila Iman sampai?"  Salam dijawab beserta dengan pertanyaan.
     "Dah sampailah ni.  Takkan esok pulak!"  Keras pula jawapan yang diterima daripada gadis itu.
     Iman Nabila adalah gadis yang sentiasa ditunggu oleh Shah.  Gadis yang secantik namanya.  Orang yang amat disayangi.  Orang yang banyak membantu dalam pencariannya ini ialah adik angkatnya.
     Shah tersenyum.  "Sorry, abang salah sebut.  Susahlah bercakap dengan pakar bahasa ni.  Banyak sangat kerenahnya," jawab Shah.
     Iman Nabila bukan boleh dimain-main dengan bahasa.  Cepat saja tingkahnya bila bahasa yang disebut disalahgunakan.  Tangan Iman Nabila dicapai dan digenggam kemas.
     "Tau pun abang.  Bahasa budaya bangsa.  Siapa lagi nak nobatkan bahasa kita kalau kita sendiri pun salah pakai?" sindirnya pedas sambil tersenyum manja.  Dia tidak bermaksud mahu menyentuh hati abangnya.  Jauh sekali melukakannya.
     "Okeylah.  Abang long mengaku kalah.  Angkat bendera putih nampaknya," jawab Shah lantas mengangkat kedua-dua belah tangannya sehingga Iman Nabila tersenyum puas.
     "Kenapa abang long termenung kat sini?  Rindu buah hati ke?"  tanya Iman Nabila lagi.  Tangan Shah dicubit mesra.
     "Hisy, susahlah cakap dengan perempuan ni.  Asyik kena cubit saja.  Tak ada kerja lain ke?"  soal Shah sambil menepis lembut.
     "Iman nak cakap sesuatu pada abang.  Abang ada masa ke?" tanya Iman Nabila bersungguh-sungguh.
     "Terpulang pada keadaan," duga Shah acuh tak acuh.
     Iman Nabila merengus bersama muka masamnya.  "Tak apalah kalau itu tak penting bagi abang.  Assalamualaikum, " Ujar gadis itu seperti mahu beredar saja lagaknya.
     Shah agak tersentap dengan sikap adik angkatnya itu.  Dia faham benar kerenah Iman Nabila.  Iman Nabila sememangnya suka minta perhatian.  Suka dipujuk.  Terus saja dipandang mata gadis itu.  Ditenung lama.  Kemudian, diberi satu senyuman.
     "Sorry, abang gurau aje dik.  Takkan tak boleh kot?" soal Shah.  Hidung Iman Nabila ditarik kuat.
     Iman Nabila kembali tersenyum.  Dia tahu hnya abang longnya saja tempat dia mengadu cerita hatinya.
     Sekarang apa yang Iman nak tanya pada abang long?" Soal Shah lagi.  Bahu Iman Nabila dipeluk dan diajak ke tepi untuk melihat ombak-ombak kecil memukul kapalnya.
     Iman Nabila terus tertunduk.
     "Kenapa Iman? Kenapa ni?"  Terdesak benar Shah untuk mendengar jawapan dari Iman Nabila.
     Iman Nabila seperti sudah tiada suara lantas melemparkan pandangan pada sekawan burung yang mahu pulang ke sarang.  Kemudian, ditoleh pula ke arah lautan.  Lama diperhati laut yang nampak suram.  Apabila kesedihannya memunccak, terus saja dia mendakap Shah yang masih terpinga-pinga dengan persoalan yang bertubi-tubi datang dan pergi.
     "Apa yang terjadi dik, cakaplah?" desak Shah.  Bahu Iman Nabila digoyang beberapa kali. Terkejut Shah sekali lagi apabila matanya bertembung dengan mata Iman Nabila.
     "Baba, abang long."  Pendek saja jawapan Iman nabila tetapi mampu membuat Shah gelisah.  Iman Nabila menyeka air matanya yang kini mengalir laju.
     "Baba...  Kenapa dengan baba, Iman?" tanya Shah cemas.
     "Baba...  Dia dah meninggal enam bulan yang lalu,"  jawab Iman Nabila dengan nada yang tersekat-sekat.
     "What! Pak Cik Badri... Innalillah..."  Shah sudah pun menutup mulutnya.
     Segera direnung kembali laut nan tenang.  Kedengaran bibirnya berzikir memuji ALLAH.  Sesungguhnya orang yang dianggap sebagai ayah, kini telah jauh meninggalkannya sebelum sempat dia bercerita tentang pencariannya.  Pengembaraan untuk mencari gadis impiannya.  Sri Dewi Cinderellanya.
     Telah lama Shah berkongsi cerita dengan baba Iman Nabila.  Tentang harapan dan impian yang akan dibinanya.  Shah ingin mencari gadis yang diidamkannya.  Seorang gadis yang memenuhi kehendak hati dan perasaannya.  Puas dia mencari, tetapi masih belum berjumpa.  Namun, bibit-bibit cinta telah lama berputik walaupun bayangan gadis itu belum menjelma.  Siapa dia dan mengapa dia bercinta dengan angan-angan, hanya Pak Cik Badri yang tahu.
     Pak Cik Badri memang suka bercerita tentang kisah-kisah dongeng.  Sememangnya, sedari dari kecil lagi Shah suka berangan-angan.  Shah mahu gadis pujaannya seperti Cinderella atau Snow White.  Bukan saja cantik malah bijak.  Bijak berhujah dan pandai mengaji.  Ramai yang mengejek tentang impiannya, cuba baba Iman Nabila saja yang mengerti.
     "Iman tak tahu macam mana nak beritahu abang long sebab tak tahu masa tu abang ada kat mana," kata Iman Nabila serba salah.
     Shah mengeluh hampa.  Sedihnya bukan kepalang.  Rasa kesal mula menguasai.  Kali terakhir dia bertemu dengan pakciknya ialah tujuh bulan lalu sebelum dia belayar.  Seronok sangat masa tu.  Bercerita sakan hingga ke subuh.  Pak cik Badri tetap percaya apa yang diimpikan pasti akan berjaya.
     "Masa itu abang long di Eropah, dik," tambah Shah lagi.  Shah terus mendakap Iman Nabila dengan kemas.  Sesungguhnya, Iman Nabila adalah orang yang sangat disayanginya.  Sekarang, adiknya telah menjadi yatim piatu.
     Iman Nabila bercerita lagi. " Baba tak sakit lama, bang.  Seminggu saja baba demam.  Masa tu Iman cuti semester.  Sempat jugalah Iman berbual dengan baba.  Baba ada tinggalkan sebuah buku lama untuk abang baca." kata Iman Nabila dan tangannya pantas menyeka air mata yang masih lagi menitis.
     "Buku apa ni, dik?"
     "Buku cerita mengenai cinta baba terhadap seorang gadis."
    "Gadis?" Terpempan Shah.  Kenapa ada nama lain selain daripada nama ibu Iman?  Apa kena-mengena gadis itu dengan Pak cik Badri, baba Iman?  Shah benar-benar buntu.
     "Baba pernah janji dengan Iman nak ceritakan segala yang berlaku antara dia dengan gadis dalam buku ni bila Iman dah dewasa.  Jadi baba berikan buku itu,"  jelas Iman sambil mengambil sesuatu dari beg galasnya.  Lalu, ditunjukkan kepada Shah.
     Shah membuka buku yang terlalu usang itu.  Dibaca sedikit nota yang tertulis.  Terpana Shah ketika bila Iman nabila membaca puisi babanya.  Puisi yang tersimpan rapi selama berpuluh tahun itu.
     "Subhanallah..."  Itu saja yang mambu terjawab oleh Shah.  Shah sudah pun menyentuh dahinya.
     "Bacalah, bang.  Iman dah tahu semuanya.  Iman amanahkan buku ini pada abang supaya abang tak jadi macam baba, cinta yang tak kesampaian." pinta Iman Nabila lagi.  Digenggam erat tangan Shah dengan linangan air mata yang tidak boleh diseka lagi.
     Shah hanya mengangguk dengan pandangan yang masih terlekat pada diari usang itu.


ANGIN laut bertiup lembut sesekali menampar muka dua insan yang sedang melayan perasaan sedih yang berbaur.  Akhirnya, kedua-dua insan itu kembali ke dunia nyata.  Mengakui setiap apa yang terjadi di dunia ini adalah kehendak dan ketentuan Yang Maha Esa.  Manusia hanya merancang.  Selainnya, manusia hanya boleh berserah sahaja.
    "Macam mana dengan pencarian abang long?  Dah jumpa? " tanya Iman Nabila lagi bila melihat Shah begitu terharu.
     Tiada jawapan pada soalan Iman Nabila sebaliknya Shah kelihatan  termenung.  Sukar bagi dirinya mempercayai bahawa pak cik Badri  mempunyai cerita tersendiri yang membuatkan dirinya mula memikirkan satu kemungkinan.  Cerita hati dan cerita cinta yang terluka.  Cerita yang mengorbankan ketenteraman beberapa keping hati yang luhur.
Ah... Mengapa tragedi ini harus berlaku?
     "Belum lagi." Perlahan saja jawapan Shah apabila menyedari Iman Nabila Merenungnya dengan tajam.


DI suatu sudut yang sepi bersaksikan lautan nan biru dan berlangitkan bintang yang berjuta, Shah masih di dek kapalnya.  Kapalnya kini menuju ke Yokohama, Negara Matahari Terbit.  Disitu, Shah mencatatkan sesuatu di dalam diarinya.


Pak Cik Badri,
Maafkan Shah kerana tak dapat jumpa pakcik.  Shah telah kehilangan orang yang disayangi.  Sesungguhnya pak cik, Shah tak tahu begitu penghujung cerita pak cik bersama gadis itu.  Shah berjanji, tak akan jadi seperti pak cik.  Shah mohon pada ALLAH supaya Shah dijauhkan daripada menghadapi tragedi seperti itu.  Doakan Shah supaya dapat apa yang Shah cari selama ini.  Seorang gadis impian yang memenuhi cita rasa Shah.
Selamat tinggal, pak cik.

     Diarinya segera ditutup apabila perasaannya terguris kembali.  Sedih dan pilu datang mencengkam dadanya.  Mengapa perlu ada tragedi cinta di dalam kamus hidup seorang insan yang mulia dan puisi itu pula akan hanya membuat jiwa menderita?  Puisi itu ditatap buat beberapa ketika dan bila hatinya tersentuh, tiba-tiba saja mulutnya lancar melafazkannya dengan kuat.
     Akhirnya, Shah mengeluh sendirian pada malam yang tanpa sebiji bintang pun di langit.


Sharing Is Caring

No comments:

Post a Comment

Sekiranya anda pandai berkata-kata, Komen lah ^_^

Tutors {Lyssa}

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...